Gabungan Rakyat Sabah sasar kutipan hasil negeri mencecah RM10 bilion menjelang 2030 menerusi ekonomi biru dan tenaga boleh diperbaharui.
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mensasarkan kutipan hasil negeri mencecah sekurang-kurangnya RM10 bilion menjelang 2030 sebagai teras manifesto pilihan raya negeri mereka.
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata sasaran itu akan dicapai melalui strategi memperluas sumber hasil termasuk Ekonomi Biru, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan pemerdagangan kredit karbon.
“Kita optimis dapat mencapai sasaran RM10 bilion dengan strategi yang digariskan dan kapasiti fiskal yang terus meningkat,” katanya ketika membentangkan manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata peningkatan hasil akan membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan dan isu rakyat diselesaikan.
Armizan berkata hasil negeri menunjukkan momentum positif di bawah pentadbiran GRS dengan peningkatan daripada RM5.45 bilion (2021) kepada RM6.84 bilion (2024).
“Ini menunjukkan pertambahan hasil sebanyak RM3.25 bilion atau 90.5% pada 2024 berbanding 2020 di bawah pentadbiran kerajaan Warisan,” katanya.
Beliau menegaskan kejayaan peningkatan hasil dan rizab negeri menjadi teras manifesto GRS yang mempersembahkan hala tuju dan rekod prestasi pentadbiran 2021-2025.
“Pencapaian ini bukan sahaja rekod tertinggi dalam sejarah Sabah, malah bukti keberkesanan strategi ekonomi dan tadbir urus baik di bawah GRS,” katanya.
Armizan turut menyeru semua parti yang bertanding tampil dengan manifesto realistik bersandarkan keupayaan fiskal negeri untuk tempoh 2026-2030.
Beliau meminta parti lain mempersembahkan manifesto bersama rekod prestasi menjana pendapatan negeri ketika berkuasa sebelum ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17. – Bernama






