Seorang guru agama warga Indonesia dihukum penjara enam tahun dan lima sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelaki berusia 11 tahun.
KUALA LUMPUR: Seorang guru agama warga Indonesia dihukum penjara enam tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Kumpul, 40, mengaku melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun satu bulan tahun lepas.
Kesalahan itu dilakukan di bilik guru sebuah sekolah rendah agama di Wangsa Maju pada 1 pagi dalam bulan Februari 2025.
Hakim Mohd Kafli Che Ali memerintahkan hukuman itu dijalani selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara lapan tahun bagi kesalahan terdahulu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman setimpal kerana mangsa adalah seorang kanak-kanak.
“Tertuduh adalah seorang guru agama yang diamanahkan untuk menjaga serta melindungi kanak-kanak berkenaan,” katanya.
Beliau menambah tertuduh sebelum ini mempunyai dua rekod jenayah atas kesalahan sama.
Pihak pendakwaan memohon hukuman dijalankan berasingan selepas hukuman penjara terdahulu.
Kumpul, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan kerana menanggung keluarga dan empat anak lelaki.
Tertuduh juga memohon maaf atas perbuatannya.
Pada 5 Januari lepas, Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan ke atasnya.
Kesalahan itu melibatkan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berlainan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu dijalani dari tarikh dia ditangkap pada 25 Disember 2025.








