Dr Wan Azizah seru ibu bapa pantau emosi anak, tekankan kasih sayang, bimbingan agama dan komunikasi terbuka bagi bentengi pengaruh negatif
PUTRAJAYA: Ibu bapa diseru memainkan peranan lebih aktif dalam memantau emosi serta pergaulan anak-anak dengan menekankan kasih sayang, bimbingan agama dan komunikasi terbuka.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata negara kebelakangan ini dikejutkan insiden membimbangkan melibatkan kanak-kanak dan remaja.
Beliau menegaskan isu tersebut menuntut perhatian serius semua pihak terutamanya ibu bapa sebagai benteng perlindungan utama keluarga.
“Setiap kali kejadian sebegitu tular, kita akan tertanya-tanya, apakah yang sedang berlaku kepada anak-anak kita,” katanya ketika merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025.
Dr Wan Azizah menyedari anak-anak kini berdepan tekanan kompleks daripada media sosial, rakan sebaya dan cabaran kesihatan mental.
Walaupun ibu bapa tidak mampu mengawal segala ruang dunia luar, mereka masih boleh mengawal suasana di rumah.
Beliau menekankan pentingnya mewujudkan persekitaran penuh kasih sayang dan memberikan perhatian sewajarnya terhadap keperluan anak-anak.
“Satu lagi perkara pokok yang ingin saya tekankan dalam usaha membentuk keluarga harmoni ialah menerusi bimbingan agama, nilai murni dan akhlak mulia,” ujarnya.
Ibu bapa perlu prihatin dengan menanyakan perkembangan di sekolah dan pergaulan anak-anak.
Mereka juga disaran memantau aktiviti media sosial serta mengenali perubahan emosi atau tingkah laku anak.
“Buka ruang kepada anak-anak bercerita tanpa membuat penilaian awal, tanpa mengadili,” pesan Dr Wan Azizah.
Pada majlis sama, beliau melancarkan program Pakej KASIH MADANI 2.0 sebagai langkah proaktif memperkukuh hubungan pasangan.
Pakej itu dibangunkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dengan penglibatan akademik dan pakar rujuk bidang kekeluargaan.
Ia merangkumi dua modul utama iaitu Modul Romantika Cinta untuk pasangan baru dan Modul Kebapaan khusus golongan bapa.
Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 bertemakan ‘KASIH Keluarga, Bahagia Bersama’.
Ia merupakan seruan kepada penghayatan nilai ‘KASIH’ merangkumi Kasih sayang, Akhlak mulia, gaya hidup Sihat, pencapaian Ilmu dan suasana Harmoni. – Bernama









