Tiga wanita Indonesia diselamatkan Imigresen Johor dipercayai mangsa pemerdagangan manusia, dipaksa kerja tanpa gaji penuh dan pasport ditahan.
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen (JIM) Johor menyelamatkan tiga wanita Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam operasi khas di sebuah premis perniagaan di Mount Austin.
Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi dari 3.30 hingga 6.30 petang itu melibatkan 24 pegawai bahagian penguat kuasa.
Mangsa yang berusia antara 24 hingga 33 tahun itu termasuk seorang pendatang tanpa izin.
“Siasatan awal mendapati mereka dipaksa bekerja di kilang milik majikan pada waktu pagi dan di kediaman selepas tamat waktu kerja untuk tempoh antara satu hingga dua tahun,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Rusdi berkata mangsa mendakwa dijanjikan gaji RM1,800 sebulan namun tidak menerima sepenuhnya sejak bekerja.
Pasport mangsa juga ditahan majikan dan pergerakan mereka dihadkan tanpa dibenarkan berhubung dengan keluarga.
Majikan wanita itu, seorang lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 31 hingga 62 tahun, telah ditahan untuk membantu siasatan.
Penahanan itu dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Operasi itu menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan dalam kalangan golongan rentan berpandukan Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana majikan yang mengambil kesempatan ke atas pekerja asing melalui paksaan, ugutan atau eksploitasi,” tegas Mohd Rusdi.








