JKDM Sarikei merampas 6.7 juta batang rokok dan 89,400 liter minuman keras tanpa kastam bernilai RM7.28 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah.
SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarikei merampas rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai keseluruhan RM7.28 juta dalam satu serbuan bulan lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datuk Norizan Yahya berkata rampasan itu melibatkan 6,766,400 batang rokok dan 89,416.80 liter minuman keras pelbagai jenama.
Barangan itu disyaki disimpan tanpa kelulusan kastam di sebuah rumah di Lorong Rantau Panjang Jaya 3H.
“Serbuan dijalankan pada 19 Disember 2025 hasil maklumat risikan Ibu Pejabat,“ katanya dalam kenyataan.
Pemeriksaan menemui barangan yang disyaki sebagai barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Nilai sitaan bagi rokok dan minuman keras tersebut dianggarkan sebanyak RM1.2 juta.
Jumlah duti import dan cukai terlibat pula dianggarkan mencecah RM6.07 juta.
Norizan berkata kes itu kini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Modus operandi yang digunakan ialah menyimpan barang larangan di premis kediaman bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa








