JKDM perkenal pengimbasan dipertingkat di Terminal 1 KLIA untuk lancarkan aliran penumpang dan kukuhkan kawalan keselamatan sempadan.
PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melaksanakan penambahbaikan proses pengimbasan dan pengesanan kontraban bagi penumpang antarabangsa di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai esok.
Ini adalah sebahagian daripada usaha mengoptimumkan aliran pergerakan trafik di lapangan terbang.
Menurut kenyataan JKDM, proses pengimbasan keselamatan di pintu pelepasan akan dilaksanakan oleh Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports mengikut piawaian keselamatan penerbangan awam.
Pendekatan ini memperkukuh kerjasama operasi antara kastam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia dan AVSEC melalui kaedah pengimbasan berasaskan petunjuk risiko.
“Sekiranya hasil pengimbasan atau pemerhatian keselamatan menimbulkan kecurigaan atau mengesan potensi kesalahan melibatkan barangan larangan termasuk dadah, mata wang tunai, hidupan liar atau instrumen boleh niaga, penumpang serta barangan berkenaan akan ditahan serta diserahkan kepada JKDM dan agensi yang berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Bagi memperkukuh keupayaan pengesanan, JKDM turut menjalinkan kerjasama strategik bersama AVSEC menerusi kursus khas.
Kursus Pengecaman Imej Imbasan Kontraban bagi para pegawai AVSEC telah diadakan pada 22 dan 23 Disember lepas di Akademi Malaysia Airports dan Terminal 1 KLIA.
“Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan agensi berkaitan untuk memastikan kelancaran operasi lapangan terbang, keselamatan, pematuhan undang-undang serta perlindungan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” menurut JKDM.








