JKR perkenal Pelan Strategik 2026-2030, OACP dan sistem IM-Strategic untuk tingkat kecekapan, integriti dan transformasi digital organisasi.
KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melancarkan Pelan Strategik 2026-2030 bersama Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Sistem IM-Strategic untuk memacu organisasi ke arah lebih inovatif.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tiga inisiatif ini akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan skop kerja JKR dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Dokumen garis panduan dan sistem ini mencerminkan komitmen JKR untuk penambahbaikan berterusan dalam tadbir urus, kecekapan organisasi dan integriti warga kerja,” katanya.
Beliau menegaskan pelan strategik yang dikemas kini setiap lima tahun ini menjadi panduan utama memperkukuh hala tuju jabatan.
“Pelan ini memperincikan strategi jelas bagi memastikan keberkesanan JKR dipertingkatkan dengan menekankan aspek kecekapan, integriti dan hala tuju,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran di Kompleks Kerja Raya.
Pelan strategik berkenaan berasaskan lima tema utama termasuk Kecemerlangan Pengurusan Aset Menyeluruh dan Organisasi Inovatif.
Ketua Pengarah JKR Datuk Seri Roslan Ismail berkata antara tumpuan utama ialah peluasan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
“Sasaran kadar penggunaan BIM meningkat kepada 90% menjelang 2026 bagi semua projek bernilai RM10 juta ke atas,” katanya.
JKR juga akan memperkasakan penggunaan Pre-Approved Plan (PAP) bagi projek bangunan konvensional dengan sasaran 50% setahun.
Roslan berkata jabatan akan terus menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam projek jalan dan bangunan bagi mengurangkan pelepasan karbon.
“Kami juga akan mempertingkatkan inovasi dalaman agar teknologi baharu dapat dikomersialkan,” tambahnya.
Dalam transformasi digital, JKR memperkenalkan sistem Integrated Management Strategic (IM-Strategic) sebagai platform pemantauan prestasi dalam talian.
“Transformasi digital ini meningkatkan produktiviti dan membantu mengurangkan risiko kesilapan serta memastikan ketelusan dalam pelaporan,” jelas Roslan.
OACP JKR Malaysia 2026-2030 dibangunkan sebagai kesinambungan pelan terdahulu dengan menumpukan empat bidang utama termasuk pengurusan aset dan projek.
Pelan antirasuah itu melibatkan 10 objektif strategik dan 42 inisiatif untuk memperkukuh integriti organisasi.
“Kejayaan pelaksanaan OACP bergantung kepada komitmen setiap warga JKR,” tegas Roslan.
Beliau menyeru semua warga JKR menyemat prinsip ‘zero tolerance terhadap rasuah’ sebagai budaya kerja organisasi. – Bernama




                                    





