Johor rancang lahirkan pakar reka bentuk AI melalui kerjasama JTDC dengan anak syarikat Alibaba, Duiyo Pro, dan penubuhan pusat kecemerlangan di Medini.
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor terus memperkasakan bakat masa depan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara Johor Talent Development Council (JTDC) dan rakan antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin (gambar) berkata MoU itu melibatkan Iskandar Investment Bhd, Singapore Economy and Management Institute serta Duiyo Pro, iaitu anak syarikat Alibaba.
“Kerjasama ini membuktikan keyakinan pelabur dan pemain industri global terhadap potensi bakat serta hala tuju pembangunan teknologi AI di Johor,” katanya.
Aznan berkata MoU itu memberi fokus kepada penubuhan Alibaba Centre of Excellence di Medini sebagai hab pembelajaran, penyelidikan dan kolaborasi.
Turut menjadi fokus ialah pelaksanaan Program Alibaba AI Design Expert Certification bagi melahirkan pakar AI Johor yang mampu mengendalikan projek dunia sebenar.
Kumpulan pertama pendaftaran dijangka bermula pada suku kedua 2026 melibatkan kira-kira 200 pelatih terawal.
“Semoga kerjasama ini memberi impak besar kepada industri AI serantau dan merealisasikan aspirasi menjadikan Johor sebagai hab teknologi AI utama di Malaysia,” katanya.
Aznan memaklumkan telah mengadakan lawatan kerja ke Alibaba Business School di Hangzhou, China.
Beliau berkata lawatan itu memberi pendedahan kepada ekosistem teknologi gergasi dunia serta aplikasi sebenar AI dalam pendidikan dan industri.








