JPJ Selangor kutip RM277,030 daripada lelongan 200 kenderaan sita, melebihi nilai rizab RM133,580 dalam siri terakhir lelongan awam 2025.
SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berjaya mengutip RM277,030 menerusi Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 3 tahun ini.
Hasil kutipan itu melebihi nilai rizab keseluruhan berjumlah RM133,580.
Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata lelongan itu melibatkan 200 unit kenderaan yang telah disita di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan yang dilelong ini telah melalui proses pelucutan hak mengikut prosedur termasuk pemakluman kepada pemilik, permohonan pelucutan hak serta perintah mahkamah, sebelum ia dibenarkan untuk dilelong kepada orang awam,” katanya.
Daripada jumlah kenderaan yang dilelong, 175 unit adalah motosikal, diikuti lapan kereta, tujuh van panel, sembilan lori rigid dan sebuah penggerak utama.
Azrin berkata lelongan itu melengkapkan penganjuran siri Lelongan Awam JPJ bagi 2025.
Dua siri lelongan terdahulu berjaya menjual 243 unit kenderaan dengan jualan keseluruhan sebanyak RM313,140.
Beliau menyeru pemilik kenderaan yang telah disita untuk hadir membuat tuntutan sebelum kenderaan melalui proses pelucutan hak.
“JPJ sentiasa memberi tempoh dan ruang kepada pemilik untuk menebus kembali kenderaan masing-masing, namun apabila tempoh diberikan tamat, tindakan lelongan merupakan langkah terakhir dibuat mengikut undang-undang,” jelasnya.
Mengulas mengenai perkembangan kes insiden kemalangan membabitkan sebuah lori di Bukit Cerakah, Meru pada 21 Okt, Azrin berkata Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) kenderaan terlibat masih dijalankan.
Tindakan terhadap pemandu lori berada di bawah siasatan polis.
JPJ Selangor turut menempatkan anggota penguat kuasa secara statik dan bergerak di kawasan terlibat sejak dua minggu lepas bagi pemantauan dan kawalan trafik.
“Kita melaksanakan pemantauan dari 8 pagi hingga 11 malam setiap hari, bagi memastikan pematuhan dan kelancaran pergerakan kenderaan perdagangan di kawasan sekitar,” katanya.
Dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan tersebut, enam individu cedera termasuk seorang patah kaki. – Bernama









