Program Jualan Rahmah MADANI kini diadakan tiga kali sebulan di setiap DUN, beri akses barangan murah kepada rakyat terutamanya di luar bandar
KUALA LUMPUR: Kekerapan penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI yang kini lebih kerap memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya di luar bandar.
Mereka mendapat akses berterusan kepada barangan keperluan pada harga mampu milik, sekaligus meringankan beban kos sara hidup.
Di Sabah, Lambatus Solipat, 60, berkata program itu benar-benar meringankan bebannya yang memiliki keluarga besar.
“Saya memerlukan barangan keperluan harian dalam kuantiti yang banyak, dan kekerapan penganjuran program ini membolehkan kami membeli semula keperluan tersebut dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau berharap lokasi program juga diperbanyak agar rakyat mempunyai akses lebih mudah.
Seorang peniaga dari Kampung Lokub Kiulu, Latius Sikat, 62, memuji usaha kerajaan meneruskan program itu dan Program Agro MADANI.
Beliau berkata program di Pekan Kiulu dilaksanakan seminggu sekali bersamaan Hari Tamu dan mendapat sambutan sangat baik.
“Oleh itu, saya berharap pihak yang mengadakan program tersebut dapat menambahkan lagi kuantiti jualan,” katanya.
Di Sarawak, pekerja swasta Hii Hong Wee, 39, menyifatkan penganjuran sebanyak tiga kali sebulan sebagai bukti Kerajaan MADANI mengambil berat tentang keperluan rakyat.
Rezduan Zaini, 37, pula melihat usaha tersebut bukan sekadar jualan murah semata-mata.
Penjawat awam itu berharap inisiatif yang dapat membantu rakyat menjalani kehidupan seharian ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Jualan Rahmah MADANI akan diadakan tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata lebih 23,000 program akan dianjur melibatkan 600 DUN serta 40 lokasi di Wilayah Persekutuan.
Ini bagi memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding pasaran setempat.
Dilancarkan pada 11 Januari 2023, program itu merupakan antara inisiatif di bawah Payung RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Ia menawarkan penjimatan antara 10% hingga 30% bagi barangan keperluan harian terpilih.








