Kebakaran melibatkan kawasan hutan seluas dua hektar berhampiran Plaza Tol Denai Alam di Lebuhraya DASH berjaya dikawal petang tadi.
SHAH ALAM: Sebuah kawasan hutan berhampiran Plaza Tol Denai Alam di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) terbakar tengah hari tadi.
Kebakaran itu melibatkan anggaran keluasan dua hektar.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada 12.58 tengah hari.
Lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong dikerah ke lokasi.
Mereka tiba di tempat kejadian pada 1.22 tengah hari bersama sebuah jentera dan tangki air.
“Setibanya di lokasi, kebakaran itu melibatkan hutan dianggar seluas dua hektar dan api berjaya dikawal pada 3.40 petang,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar.
Beliau berkata kerja-kerja pemadaman masih dijalankan setakat jam 5 petang.








