the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, January 7, 2026
21.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Kerajaan adakan perjumpaan dengan ketua parti politik berhubung RUU Hadkan Tempoh Jawatan PM

Kerajaan akan adakan perjumpaan dengan ketua parti politik berhubung RUU had tempoh jawatan PM kepada 10 tahun, selain tiga RUU reformasi lain.

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua parti politik berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

“Saya kena berhadapan dengan semua ketua parti supaya kami dapat lebih daripada dua pertiga (majoriti),” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di sini.

Azalina berkata RUU itu tidak membabitkan jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar.

Undang-undang itu hanya akan terpakai kepada Perdana Menteri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan RUU itu antara empat perundangan baharu yang akan dibentangkan sebagai hala tuju Parlimen tahun ini.

Tiga lagi RUU yang akan dibentangkan ialah pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penubuhan Ombudsman dan Kebebasan Maklumat (FOI).

Azalina berkata keempat-empat RUU berkenaan akan dibentangkan pada Februari ini, iaitu selepas perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong selesai.

Beliau berkata RUU penubuhan Ombudsman dan Kebebasan Maklumat adalah antara undang-undang yang sangat penting bagi rakyat.

“Bukan sahaja rakyat mendapat akses dan maklumat di bawah kebebasan maklumat tetapi ia bergerak seiring dan sejalan dengan RUU Ombudsman, dan gabungan ini dapat membantu membanteras rasuah, menambah baik kualiti perkhidmatan awam, melindungi rakyat serta memperkukuhkan prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang dalam negara kita,” katanya.

Azalina berkata FOI dan Ombudsman itu sangat penting kerana ia adalah undang-undang yang banyak fokus kepada tuntutan rakyat.

“Bererti bahawa FOI dengan Ombudsman ini dalam banyak negara maju dilihat satu daripada semak dan imbang yang boleh berlaku bagi setiap negara,” katanya.

Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi akan memperbanyakkan pendekatan dialog awam dan konvensyen.

Ini bagi mendapat maklum balas dan memberi kefahaman kepada rakyat berkenaan RUU yang dibentang.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories