Kerajaan merancang tambah klinik bantuan guaman Justice on Wheels di luar bandar dan integrasi sistem digital untuk mudahkan akses undang-undang
TUARAN: Kerajaan bercadang memperbanyakkan klinik bantuan guaman Justice on Wheels di kawasan luar bandar dan menyepadukannya dengan sistem digital.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif ini akan memudahkan proses pendaftaran, komunikasi dan akses nasihat undang-undang kepada rakyat.
Beliau menekankan kepentingan memastikan perkhidmatan Jabatan Bantuan Guaman lebih inklusif khususnya untuk komuniti di pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Walaupun mereka daftar guna telefon, hampir semua orang ada e-mel,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program klinik bantuan guaman di pekarangan Pasar Awam Tuaran.
Azalina berkata sistem yang boleh disepadukan bersama diperlukan untuk memudahkan komunikasi dan pendaftaran awal.
Pendigitalan perkhidmatan ini selaras dengan pindaan undang-undang terkini yang telah mengaplikasikan sistem perbicaraan elektronik.
Platform digital termasuk Chatbox kini digunakan untuk pemberian nasihat guaman dan penerimaan dokumen.
Kerjasama antara Jabatan Bantuan Guaman dengan pejabat Ahli Parlimen serta ADUN juga penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Masyarakat perlu tahu ada agensi kerajaan yang memberi khidmat guaman percuma,” tegas Azalina.
Beliau mengakui cabaran mendapatkan pelanggan datang secara fizikal pada masa kini. – Bernama







