the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, December 19, 2025
22.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Kerajaan cadang naikkan Bantuan Wang Ihsan untuk mangsa bencana

Timbalan Perdana Menteri akan bawa cadangan naikkan BWI untuk mangsa bencana ke Kabinet, selaras usaha ringankan beban rakyat terjejas.

KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membawa cadangan menaikkan jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk mangsa bencana ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata usaha itu bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat bencana seperti banjir, berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Baru sahaja naik daripada RM500 kepada RM1,000, tetapi saya akan bawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dapat kelulusan dengan jumlah kenaikkan bergantung kepada kemampuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar.

Ahmad Zahid berkata usaha berkenaan selari dengan keperluan semasa untuk memastikan kebajikan mangsa bencana terus terpelihara.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebelum ini memaklumkan BWI sebanyak RM1,000 diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan.

Beliau berkata kerajaan akan menyalurkan BWI kepada mangsa banjir di PPS berdaftar sebelum mereka dibenarkan pulang.

“Mengikut peraturan lama, mereka hanya mendapat bayaran tiga hari selepas PPS itu dikosongkan,” katanya sambil memaklumkan penambahbaikan itu hasil keprihatinan Perdana Menteri.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata kerajaan telah menyalurkan BWI sebanyak 77% melibatkan 47,000 KIR di seluruh negara.

Baki bantuan akan diselesaikan melalui NADMA.

Beliau berkata hujan lebat ketika gelombang kedua musim monsun timur laut 2025-2026 akan berada tahap lima hingga tujuh kali ganda lebih besar.

“Kita harap untuk gelombang luruan hujan yang akan datang ini, saya minta kerjasama daripada rakyat terutamanya kawasan yang telah dikenal pasti dilanda banjir,” katanya.

Ditanya perancangan sekiranya PPS melebihi kapasiti, beliau berkata pihaknya memberi kelonggaran kepada kerajaan negeri untuk cari tempat bersesuaian.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pendidikan Daerah untuk melakukan penyelarasan,” katanya.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories