Kementerian Komunikasi akan kemukakan cadangan Hari Muzik Negara kepada Jemaah Menteri sebagai sambutan peringkat nasional
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi berhasrat mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri untuk mewujudkan Hari Muzik Negara sebagai sambutan peringkat nasional.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu akan dibawa ke perbincangan dalaman kementerian dalam masa terdekat susulan kajian industri muzik yang telah disiapkan bersama MyCreative Ventures.
Beliau menyatakan cadangan itu akan diteliti pelaksanaannya sekiranya dipersetujui Perdana Menteri.
Fahmi melihat keperluan untuk meraikan keupayaan para pemuzik tempatan melalui satu sambutan khas seperti Hari Muzik Negara.
Beliau berkata kajian yang dijalankan mendapati beberapa isu perlu diteliti melibatkan industri muzik khususnya mewujudkan satu akta khusus bagi melindungi industri berkenaan.
Fahmi menjelaskan bahawa dalam banyak bidang seni, muzik khususnya masih belum mempunyai akta tersendiri.
Sejak tahun lepas, beliau telah meminta MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi meneliti kewajaran mewujudkan satu akta khas untuk industri muzik.
Kajian yang telah disiapkan akan menunjukkan hala tuju bagi akta berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata RIUH x ASEAN 2025 yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menampilkan pelbagai artis tempatan dan serantau.
Program tersebut turut mempamerkan peragaan bakat dalam bidang fesyen dan kulinari oleh usahawan tempatan.
RIUH menjadi antara platform penting dalam memperkukuh industri kreatif atau apa yang disebut sebagai ekonomi jingga.
Produk yang dihasilkan bukan sahaja memperagakan keunikan budaya tempatan, tetapi juga berpotensi untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.
Melalui RIUH x ASEAN, hasrat kerajaan adalah untuk membawa jenama-jenama tempatan ini ke pasaran serantau selaras dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Majlis penutupan RIUH x ASEAN 2025 turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohammad Fauzi Md Isa.
Juga hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd Datuk Ir Ts Izwan Ibrahim dan Pengarah Urusan QSR Brands Nehchal Khanna selaku penaja. – Bernama










