KPT akan beri tumpuan lebih kepada POLYCC untuk ubah persepsi pendidikan kelas kedua, selari pelancaran RPTM 2026-2035.
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi tumpuan lebih menyeluruh terhadap pembangunan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) sebagai agenda memperkasakan pendidikan tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendekatan baharu perlu dirangka bagi memastikan institusi POLYCC berkembang seiring dengan universiti.
“Pendidikan di peringkat politeknik itu tidak boleh lagi dianggap sebagai pendidikan kelas kedua,” katanya pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 Menteri Pendidikan Tinggi.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan supaya dicari pendekatan baharu dalam pendidikan di peringkat politeknik dan kolej komuniti.
Zambry menekankan tadbir urus universiti awam perlu diperkasakan agar lebih tangkas dan selari dengan dasar kerajaan.
“Universiti-universiti itu adalah badan berkanun dan tertakluk kepada arahan,” katanya mengenai kepatuhan terhadap pekeliling kementerian.
Menyentuh Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 (RPTM), beliau berkata ia dokumen strategik utama bagi tempoh 10 tahun akan datang.
RPTM dirangka secara bersama oleh kepakaran tempatan melibatkan lebih 8,000 pihak berkepentingan.
“RPTM ini akan menjadi ‘dokumen hidup’ iaitu fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut perubahan semasa,” jelasnya.
Kerajaan akan melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan.
RPN diterajui bersama oleh KPT menerusi RPTM dan Kementerian Pendidikan menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Pelaksanaan RPTM dan RPM secara bersepadu mencerminkan keselarasan dasar pendidikan negara yang menyeluruh.








