Kerajaan Perlis mengisytiharkan 1 Januari 2026 sebagai cuti peristiwa bagi menghargai penjawat awam dan rakyat yang menjayakan Karnival Sambutan Tahun Baharu 2026.
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis mengisytiharkan 1 Januari 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa.
Pengisytiharan itu dibuat selaras dengan Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) setelah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata cuti itu adalah satu bentuk penghargaan kepada penjawat awam dan rakyat yang menjayakan Karnival Sambutan Tahun Baharu 2026 peringkat negeri.
“Diharapkan dengan pengumuman ini dapat memudahkan segala urusan rakyat untuk hadir menjayakan karnival ini dan mengatur segala perancangan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dimuat naik di Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.








