Kerajaan semak Akta Orang-Orang Papa 1977 untuk selesaikan isu gelandangan di KL, libatkan pelbagai agensi dan pusat penempatan sementara
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti semula Akta Orang-Orang Papa 1977 bagi mencari penyelesaian lebih tuntas terhadap isu gelandangan di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata proses semakan itu sedang dilakukan agensi berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Beliau berkata masalah gelandangan di Kuala Lumpur merupakan isu berterusan yang menuntut pendekatan lebih menyeluruh antara agensi kerajaan.
“JKM dan KPWKM sedang melihat kepada akta yang digunakan, contohnya Akta Orang-Orang Papa dan saya difahamkan ia sedang diteliti lebih rapi,” katanya.
Beliau berkata operasi menyelamat biasanya melibatkan semua pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Antidadah Kebangsaan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Dalam Negeri serta Polis Diraja Malaysia.
Dr Zaliha berkata terdapat sehingga 400 gelandangan boleh ditemukan dalam satu-satu operasi yang melibatkan individu daripada pelbagai latar belakang.
Individu itu termasuk pemohon suaka, mereka yang mengalami penyakit mental dan penagih dadah.
Kuala Lumpur kini mempunyai tiga pusat penempatan sementara, termasuk di Taman Tunku, yang menyediakan tempat tidur serta makanan.
Pusat itu juga membenarkan pertubuhan bukan kerajaan menyalurkan bantuan di lokasi terkawal bagi mengelakkan masalah kebersihan.
Dalam operasi penyelamatan sempena kepengerusian ASEAN baru-baru ini, sebahagian gelandangan ditempatkan di Gemenceh, Negeri Sembilan untuk mengikuti latihan.
Ada yang berjaya menamatkan program serta memperoleh pekerjaan dengan kerjasama agensi berkaitan.
Mengulas mengenai isu banjir kilat di ibu kota, Dr Zaliha berkata Kuala Lumpur dijangka akan mengalami peningkatan kadar keamatan hujan di beberapa lokasi sehingga 120 milimeter sejam.
“Kadar biasa 80mm/j tetapi tempoh hari hujan jatuh hingga 116mm/j dan kita jangkakan mungkin selepas ini ada sehingga 120mm/j,” katanya.
Beliau berkata hal itu kemungkinan boleh menyebabkan banjir.
Mengenai langkah jangka pendek dan panjang susulan banjir kilat baru-baru ini, Dr Zaliha berkata kerajaan telah melaksanakan persediaan awal.
Persediaan itu termasuk mengenal pasti 15 kawasan mudah banjir di Kuala Lumpur.
“Mitigasi banjir contohnya kita telah kenal pasti di Kuala Lumpur ini,” katanya.
Beliau berkata tindakan yang diambil termasuk meletakkan siren amaran jika paras air sampai ke tahap tertentu untuk memberi peringatan kepada penduduk. – Bernama







