Kerajaan umum langkah reformasi institusi termasuk had tempoh jawatan PM dan pemisahan kuasa Peguam Negara bagi perkukuh sistem demokrasi negara.
PUTRAJAYA: Langkah reformasi institusi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai perkembangan penting untuk memperkukuh sistem demokrasi negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah itu termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Beliau menyatakan langkah-langkah itu kritikal bagi mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh dalam institusi negara.
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk merealisasikan agenda reformasi institusi ini demi memperkukuh demokrasi, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik,” katanya dalam kenyataan.
Nga berkata kerajaan turut berhasrat memperkukuh kepercayaan awam melalui pembentangan Rang Undang-Undang Akta Kebebasan Maklumat 2026.
Akta itu dijangka memberikan akses lebih luas kepada rakyat terhadap maklumat serta keputusan kerajaan.
Beliau berkata pengumuman sempena Amanat Perdana Menteri Tahun 2026 itu adalah kesinambungan kepada kejayaan terdahulu Kerajaan MADANI.
Antara pencapaian utama ialah penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang memberikan autonomi kepada Parlimen.
Kerajaan turut memperkenalkan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mengurangkan kerenah birokrasi.
Akta Perolehan Kerajaan 2025 pula digubal bagi mengukuhkan ketelusan dan integriti dalam proses perolehan awam.
Dalam aspek hak asasi, Nga menyebut pemberian kewarganegaraan secara automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia sebagai langkah progresif.
“Jelas reformasi yang sedang rancak dilakukan oleh Kerajaan MADANI bukan saja menunaikan janji manifesto,” katanya.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh bersama Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri.








