KESUMA catat pencapaian termasuk gaji minimum RM1,700, kadar pengangguran terendah 10 tahun dan ratifikasi konvensyen ILO.
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merekodkan pelbagai pencapaian penting dalam tempoh dua tahun lalu, khususnya dalam memperkukuh kebajikan, kemahiran dan pendapatan pekerja.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pelbagai dasar dan reformasi telah dilaksanakan bagi mengangkat martabat pekerja.
“Kami bukan 100% sempurna, tetapi pasukan @myKESUMA telah bekerja keras sepanjang dua tahun ini memastikan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja meningkat,” katanya menerusi hantaran di X.
Antara pencapaian utama termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan.
Gaji bulanan median juga buat pertama kali melepasi ambang RM3,000.
Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif memberi manfaat kepada lebih 32,000 pekerja pada 2025 dengan kenaikan gaji permulaan median sehingga 16%.
Kadar pengangguran mencatatkan paras terendah dalam 10 tahun.
Terdapat juga peningkatan tertinggi dari segi penubuhan kesatuan sekerja baharu.
KESUMA berjaya meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) C155.
Kementerian turut menguatkuasakan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) berlandaskan amalan terbaik dunia.
Untuk pertama kali dalam 20 tahun, Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak dipinda bagi memastikan hak pekerja lebih saksama di seluruh negara.
Kementerian turut memperkasakan Mahkamah Perusahaan Malaysia dan hak pekerja migran.
Ini termasuk pembayaran gaji, perlindungan keselamatan sosial dan mekanisme aduan yang lebih baik.
Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut ditambah baik.
Antara inisiatif bersejarah ialah pengenalan Skim Lindung 24 Jam PERKESO selepas 50 tahun.
Pembentangan Rang Undang-Undang Pekerja Gig juga merupakan satu pencapaian.
Pencapaian lain termasuk revolusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ini dilakukan melalui pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran.
Pindaan itu memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia dan Sijil Pakar Malaysia. – Bernama








