Ketua Bernama Radio Azlan Idris, 58, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur awal pagi ini. Beliau antara individu terawal Bernama Radio sejak 2007
KUALA LUMPUR: Ketua Bernama Radio Azlan Idris meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi ini.
Berita pemergian Allahyarham yang berusia 58 tahun itu disahkan oleh ahli keluarganya.
Azlan merupakan antara individu terawal yang menyertai Bernama Radio sejak penubuhannya pada tahun 2007.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Allahyarham memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju operasi stesen radio berkenaan.
Beliau juga melakar strategi bagi memastikan kelangsungan serta daya saing Bernama Radio.
Ini dilakukan ketika industri penyiaran negara berdepan tekanan hebat susulan ledakan teknologi digital yang berkembang pesat.








