KTMB membatalkan tren MySawasdee ke Hat Yai ekoran banjir di selatan Thailand, tawarkan pemulangan tambang penuh kepada penumpang terjejas.
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren MySawasdee 1004 dari KL Sentral ke Hat Yai dan MySawasdee 1005 dari Hat Yai ke KL Sentral telah dibatalkan berikutan banjir di wilayah selatan Thailand.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan bencana alam itu menyebabkan penutupan landasan di beberapa kawasan sektor Padang Besar–Hat Yai.
“Keputusan ini dibuat selepas penilaian keselamatan dan operasi serta pengesahan daripada pihak berkuasa Thailand, dengan mengambil keselamatan penumpang sebagai keutamaan,” menurut kenyataan KTMB.
Sebanyak 840 tiket telah ditawarkan bagi kedua-dua perjalanan tersebut.
Pemulangan tambang penuh akan dimasukkan ke dalam KTM Wallet penumpang secara segera untuk digunakan pada masa hadapan.
Seramai 652 penumpang masih belum membuat pembatalan tiket setakat ini.
Manakala 188 penumpang telah membuat pembatalan awal dan layak menerima baki pemulangan tambang.
Penumpang yang membeli tiket dalam talian boleh membatalkannya melalui aplikasi KITS.
Mereka perlu memilih menu MyTicket, diikuti Upcoming Ticket dan Refund.
Jadual perjalanan perkhidmatan MySawasdee seterusnya akan dimaklumkan mengikut perkembangan situasi di Hat Yai.
“KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 untuk maklumat lanjut.







