KKDW perkenalkan rangka kerja 5P – People, Place, Productivity, Prosperity, Prophetic – sebagai asas pembangunan desa tahun ini.
PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggariskan lima fokus utama sebagai asas perancangan dan pelaksanaan program pembangunan desa tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lima fokus itu ialah People, Place, Productivity, Prosperity dan Prophetic (5P).
Rangka kerja 5P bertujuan memastikan kemajuan luar bandar yang mampan, berteraskan nilai dan berpaksikan rakyat.
Beliau berkata ‘People’ dengan mobiliti sosial dijadikan teras utama pembangunan desa bermula daripada pemerkasaan manusia.
“Pembangunan desa mesti bermula dengan manusia,” katanya pada majlis Amanat Tahun Baharu 2026 KKDW di sini hari ini.
Beliau menekankan belia desa mesti mewarisi peluang yang luas, manakala wanita, OKU dan golongan rentan perlu diberi ruang dan kemahiran.
Fokus kedua ‘Place’ melihat desa sebagai kluster pertumbuhan baharu negara dengan pembangunan hab pelaburan desa.
‘Productivity’ pula memberikan tumpuan kepada pendapatan stabil melalui usaha menaikkan skala usahawan desa.
Inisiatif ini melibatkan pengukuhan kemahiran pengurusan, pendigitalan, inovasi produk dan penjenamaan.
Fokus keempat ‘Prosperity’ menekankan aspek kesejahteraan, manakala ‘Prophetic’ berasaskan nilai kepimpinan Rasulullah SAW.
“Apabila 5P ini diterapkan, pembangunan desa tidak hanya diukur melalui angka tetapi melalui kehidupan lebih bermaruah,” katanya.
Ahmad Zahid berkata pembangunan desa perlu diurus dengan minda korporat bagi memastikan setiap ringgit memberi pulangan nilai.
“Ia menuntut kecekapan, keputusan yang pantas, peranan dan garis masa jelas,” jelasnya.
Satu platform pemikiran strategik akan diwujudkan sebagai pusat penyelidikan desa untuk memandu gerak kerja kementerian.
Platform itu juga akan mendokumentasikan pencapaian desa melalui penerbitan jurnal, laporan dan buku.
Selaras pengisytiharan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia PBB, Malaysia akan memperkenalkan sambutan sama tahun ini.
“Saya mahu sambutan ini mempromosi pembangunan luar bandar, inovasi komuniti, pendigitalan desa dan pembangunan usahawan,” katanya.








