KKM berjaya laksanakan implantasi LVAD pertama di hospital awam, prosedur RM800,000 untuk selamatkan nyawa pesakit kegagalan jantung tahap akhir.
SERDANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatat sejarah dengan kejayaan melaksanakan implantasi pertama Left Ventricular Assist Device (LVAD) dalam sistem kesihatan awam.
Prosedur pertama di fasiliti KKM itu menggunakan peranti HeartMate 3 dan dilaksanakan oleh pasukan klinikal multidisiplin tempatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS).
Ia dijalankan pada 10 Disember ke atas seorang pesakit lelaki berusia 57 tahun yang menghidap kegagalan jantung tahap akhir.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata pesakit yang dipilih benar-benar memerlukan peranti itu untuk menyelamatkan nyawanya.
Pembedahan selama kira-kira lima jam itu berjalan lancar tanpa komplikasi.
Pesakit telah berjaya dihentikan daripada semua sokongan inotropik dan sedang menjalani fisioterapi.
Harga peranti tersebut mencecah kira-kira RM680,000 manakala keseluruhan prosedur bernilai kira-kira RM800,000.
Dzulkefly berkata LVAD masih dianggap komuniti kardiologi sebagai prosedur paling efektif dari segi kos.
Keputusan sama ada penggunaan LVAD akan diperluaskan sebagai dasar bergantung kepada analisis kos faedah dan kualiti hidup pesakit pasca-prosedur.
“Sama ada ia menjadi polisi atau tidak … tergantung kepada penentuan analisis kos faedah dan juga paling penting ialah kualiti life post-procedure,” katanya.
Pakar Jantung Dr K. Sethujanatran berkata pesakit dipilih kerana berada pada tahap kegagalan jantung paling kritikal.
“Pesakit sudah pada tahap akhir… semua rawatan lain dah hampir gagal,” katanya.
Pesakit itu dirawat di Unit Rawatan Rapi Koronari selama hampir tiga bulan sebelum dipilih menjalani implantasi. – Bernama








