Laluan hijau di KLIA 1 mempercepat proses keluar penumpang antarabangsa tanpa barang kena deklarasi, tanpa kompromi keselamatan.
SEPANG: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1) hari ini memulakan pelaksanaan konsep laluan hijau bagi penumpang antarabangsa.
Inisiatif itu bertujuan mempercepat proses keluar di balai ketibaan dan mengurangkan kesesakan terutamanya di kawasan tuntutan bagasi.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata konsep itu dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Laluan hijau membolehkan penumpang yang tidak membawa barangan untuk diisytiharkan terus keluar ke balai ketibaan.
Satu laluan merah turut disediakan bagi membawa barangan yang perlu diisyitiharkan bagi tujuan pemeriksaan dan pembayaran duti.
“Sebelum ini, proses yang kita lakukan ialah semua (penumpang) akan pergi ke satu laluan dan kadang-kadang pihak kastam akan meminta bagasi melepasi mesin pengimbas. Kita dapati bahawa ada sedikit kelewatan menyebabkan laluan yang panjang dan sesak,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa pelaksanaan laluan hijau ini tidak menjejaskan aspek keselamatan negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa perkara ini sama sekali tidak mengkompromikan keselamatan negara, iaitu walaupun ada laluan hijau ini tidak bermaksud pegawai atau anggota AKPS tidak boleh menahan atau memeriksa penumpang,” katanya.
Loke berkata setakat ini, pergerakan penumpang lebih lancar dan memudahkan urusan.
Inisiatif itu selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka menyaksikan pertambahan pelancong.
Laluan hijau dilaksanakan sebagai projek perintis selama sebulan hingga 26 Feb depan bagi menilai keberkesanan sistem.
Sekiranya ia berjaya, konsep sama akan diperluas ke KLIA Terminal 2 serta lapangan terbang antarabangsa lain.
Lapangan terbang lain itu adalah di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“Jadi kita harap inisiatif ini akan dapat menambah baik lagi kecekapan di KLIA T1 dan memang ini adalah antara penambahbaikan yang kita akan teruskan,” katanya.
Beliau menambah inisiatif berkenaan tidak melibatkan penambahan anggota penguat kuas.








