Fadillah Yusof tekankan pemahaman Perjanjian Malaysia 1963 penting untuk hidupkan semangat Malaysia dan jamin perpaduan negara.
KUCHING: Pemahaman terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diperkukuh sebagai asas untuk menghidupkan semula semangat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini penting untuk menjamin perpaduan dan keharmonian negara.
Beliau menegaskan tuntutan berkaitan MA63 oleh Sabah dan Sarawak berlandaskan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Isu-isu berkaitan sedang diperhalus melalui perbincangan peringkat jawatankuasa teknikal dan majlis berkaitan,” katanya.
Fadillah berkata pendekatan itu bagi memastikan pengembalian hak dapat dilaksanakan secara teratur dan berhemah.
Beliau menambah proses itu penting untuk mengharmonikan hubungan antara rakyat serta mengekalkan perpaduan negara.
Fadillah berkata aspek pendidikan turut memainkan peranan penting dalam membentuk kefahaman tersebut.
Beliau berkata penekanan dalam pendidikan seharusnya diberikan kepada sejarah penubuhan Malaysia, bukan hanya sejarah Tanah Melayu.
“Perkara berkaitan Malaysia, MA63 serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan sebenarnya telah termasuk dalam syllabus sejarah kita, namun pemahaman terhadap kandungannya masih perlu diperkukuh,” katanya.
Beliau menegaskan semangat Malaysia yang berteraskan MA63 menuntut kefahaman menyeluruh terhadap kandungan perjanjian








