Seorang konsultan wanita berusia 71 tahun kerugian RM690,500 selepas ditipu skim pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan pulangan 100%.
GEORGE TOWN: Seorang konsultan syarikat swasta kerugian RM690,500 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian sejak November lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata mangsa berusia 71 tahun itu melihat iklan pelaburan saham berkeuntungan tinggi di TikTok.
Wanita itu kemudian berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek menjanjikan pulangan keuntungan 100% dalam tempoh masa singkat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang berminat kemudian diminta memuat turun aplikasi QNTCX untuk mendaftar dan membuat pelaburan.
Mangsa melakukan 20 transaksi ke dalam empat akaun bank syarikat berbeza antara 10 November hingga 23 Disember 2025.
Jumlah keseluruhan transaksi itu ialah RM690,500.
Mangsa menyedari ditipu apabila tidak menerima keuntungan yang dijanjikan.
Dia malah diminta membuat pembayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran keuntungan.
Warga emas itu membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada 29 Disember lalu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” kata Azizee.








