KPDN Johor siasat dakwaan kenderaan asing isi petrol RON95 dengan taktik tutup nombor pendaftaran di sebuah stesen minyak.
JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menyiasat dakwaan terdapat kenderaan asing mengisi petrol RON95 dengan menutup nombor pendaftaran.
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas sebuah stesen minyak susulan aduan yang tular di media sosial.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.36 malam semalam.
“Pembelian petrol RON95 telah dibuat menggunakan kaedah tanpa tunai di satu daripada pam di stesen minyak berkenaan tanpa melibatkan pengesahan identiti di kaunter,” katanya dalam kenyataan.
Daripada semakan transaksi, hanya sebahagian daripada jumlah pembelian telah berjaya sebelum pengisian dihentikan sepenuhnya.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan disemak bagi membantu siasatan.
Lilis Saslinda berkata tindakan diambil di bawah Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Tindakan itu kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing.
Kes itu disiasat di bawah AKB 1961.








