KPDN Selangor menegaskan pematuhan undang-undang sebagai pelaburan jangka panjang untuk membina kepercayaan pengguna, dengan program PATUH sebagai pemangkin transformasi perdagangan negara.
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menegaskan bahawa pematuhan terhadap undang-undang adalah “pelaburan jangka panjang” dalam membina kepercayaan pengguna terhadap peniaga.
Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata program PATUH dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi perdagangan negara yang lebih berintegriti, telus dan mesra pengguna.
“Program ini menjadi payung kepada beberapa inisiatif utama KPDN yang bertujuan membina persekitaran perniagaan yang tersusun, beretika dan memberi perlindungan optimum kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata program itu diperkenalkan bagi memperkukuh budaya pematuhan perniagaan dan memastikan ekosistem perdagangan negara kekal kondusif.
Objektif utama program adalah meningkatkan kesedaran peniaga, menggalakkan persaingan sihat serta melindungi hak pengguna.
Bagi tahun pertama pelaksanaan, dua inisiatif utama diperkenalkan sebagai projek perintis iaitu Pasar PATUH dan Zon Persinggahan PATUH (ZPP).
Pasar PATUH diwujudkan bagi memperkukuh pematuhan dalam kalangan peniaga pasar awam khususnya dari segi penandaan harga dan penggunaan alat timbang yang tepat.
Pelaksanaan ZPP di Selangor pula melibatkan tujuh Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS yang dipilih sebagai platform pendidikan pengguna.
Antara rakan strategik utama di bawah program Pasar PATUH ialah Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan Selangor.
ZPP pula melibatkan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia Berhad.
Sempena pelancaran di Pasar Awam Dengkil, KPDN Selangor bersama MPS menjalankan pemeriksaan ke atas kira-kira 30 premis.
Mohd Zuhairi berkata peniaga di pasar tersebut memberikan sambutan positif terhadap inisiatif itu.
Beliau berkata peniaga telah mula mempraktikkan pemaparan tanda harga secara jelas dan kemas untuk kemudahan pengguna.







