KPM ambil tindakan segera, alih tugas pegawai terlibat Ops Songsang. Siasatan dalaman dijalankan, kes disiasat bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil tindakan segera terhadap pegawai yang terlibat dan ditahan dalam serbuan Ops Songsang di sebuah kelab kesihatan di ibu negara.
KPM dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu bagi memastikan semua pegawai terlibat tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan di bawah kementerian itu sehingga proses siasatan selesai.
“KPM mengambil serius penglibatan beberapa orang pegawai terlibat dalam aktiviti songsang seperti dilaporkan baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu menegaskan ia tidak berkompromi dengan perlakuan tidak bermoral ini dan siasatan dalaman sedang dijalankan.
KPM turut menasihati ketua-ketua jabatan di bawahnya untuk meningkatkan pemantauan dan memastikan kegiatan tidak bermoral dibanteras di setiap peringkat.
Serbuan Ops Songsang pada Jumaat lepas menyaksikan 17 penjawat awam antara 208 individu ditahan.
Rampasan kondom dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral turut dilakukan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana hubungan seks bertentangan dengan aturan tabii.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – Bernama







