KPM akan fokus pada latihan Bantuan Awal Psikologi untuk guru tahun depan bagi memperkukuh sokongan psikologi dan kaunseling di sekolah.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan latihan Bantuan Awal Psikologi kepada guru bagi memperkukuh sokongan psikologi dan kaunseling di sekolah pada tahun hadapan.
Timbalan Menterinya Wong Kah Woh berkata latihan berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan diselaraskan melalui Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing.
Beliau berkata KPM sentiasa memandang serius terhadap keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah serta mengiktiraf peranan guru warden dan guru disiplin sebagai barisan hadapan dalam mengurus kebajikan murid di asrama.
Kementerian itu juga sedang melaksanakan inisiatif Minda Sihat bagi memantau tanda-tanda awal isu kesihatan mental dalam kalangan murid Tahun Lima, Tahun Enam dan sekolah menengah.
Melalui inisiatif ini, data berkaitan tahap kemurungan dan kebimbangan murid akan dikenal pasti secara menyeluruh bagi membolehkan intervensi dijalankan dengan lebih spesifik dan berkesan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi yang meminta penjelasan mengenai langkah KPM memastikan guru warden dan guru disiplin di sekolah berasrama menerima latihan psikologi serta kaunseling profesional.
Wong berkata KPM turut memperkukuh pelaksanaan program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam yang memberi pendedahan kepada guru mengenai ilmu asas psikologi dan kaunseling.
Peranan AKRAB turut diperluas di institusi pendidikan di bawah KPM sebagai kumpulan sokongan psikologi rujukan di sekolah.
Hingga 2024, sebanyak 500 pengetua dan guru besar telah ditauliahkan sebagai AKRAB manakala bagi 2025 sebanyak 312 pegawai daripada KPM dan JPN disasarkan untuk mengikuti latihan berkenaan.
Beliau berkata KPM juga mengemukakan kertas cadangan bagi melaksanakan latihan psikologi dan kaunseling secara lebih menyeluruh, termasuk komponen pra-AKRAB serta pemantapan kompetensi melibatkan pengetua, guru besar, guru warden dan pegawai di JPN serta PPD.
Pada masa sama, beliau berkata program Sistem Keluarga Asrama diperkenalkan dengan pendekatan homeroom, mentor-menti dan sistem rumah, iaitu guru berperanan seperti ibu bapa dengan memberi perhatian kepada emosi, rohani, sahsiah dan akademik murid. – Bernama










