KPT belanja RM1.2 juta untuk dewan terbuka dan naik taraf gelanggang futsal di Kampung Pulau, Masjid Tanah di bawah Program Kampung Angkat MADANI.
ALOR GAJAH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membelanjakan RM1.2 juta bagi membangunkan Dewan Terbuka Kampung Pulau, Masjid Tanah dan menaik taraf gelanggang futsal di bawah Program Kampung Angkat MADANI.
Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata RM1 juta diperuntukkan untuk membina dewan terbuka itu yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG). Sebanyak RM200,000 lagi diperuntukkan bagi menaik taraf gelanggang futsal oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
“Kampung Pulau dipilih menjadi Kampung Angkat MADANI bagi KPT pada pertengahan 2024, manakala UTeM dilantik sebagai agensi pelaksana,” katanya.
Beliau berkata program ini dilaksanakan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keprihatinan, kesejahteraan dan tanggungjawab sosial.
Pada majlis penyerahan dewan itu, Anesee menyerahkan replika kunci dewan berkenaan kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai simbolik penyerahan fasiliti.
Anesee berkata sebanyak lima program bimbingan komuniti turut dilaksanakan di bawah program berkenaan yang dikendalikan UTeM.
Program itu membabitkan projek penanaman melon secara fertigasi, minyak masak terpakai, projek rintis akuaponik berasaskan Internet benda (IoT), kursus keusahawanan makanan dan minuman untuk wanita kampung serta Program Kesedaran STEM.
“Melalui perkongsian ilmu pengetahuan ini, hasrat kerajaan untuk memupuk literasi digital dan kemahiran insaniah dalam kalangan masyarakat dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau yakin penduduk Kampung Pulau dapat menikmati manfaat yang besar daripada pelaksanaan program ini.
Sementara itu, Ab Rauf berkata pembangunan Dewan Terbuka Kampung Pulau wajar dijadikan model rintis kepada pembangunan ruang komuniti desa.
Beliau berkata kemudahan itu dijangka memberikan manfaat secara langsung kepada lebih 400 penduduk Kampung Pulau termasuk belia, warga emas dan persatuan setempat.








