Lawatan Sultan Ibrahim ke Bahrain tingkat hubungan dua hala, perdagangan dan kerjasama keselamatan antara Malaysia dengan negara Teluk
MANAMA: Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Bahrain merupakan lawatan signifikan bagi mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata lawatan ini penting dalam keadaan geopolitik mencabar untuk Malaysia mempunyai negara sahabat yang memahami dan boleh bekerjasama secara strategik.
“Dalam lawatan ini, kita dapat melihat Sultan Ibrahim mampu melangkaui satu hubungan yang boleh membawa kepada kedudukan yang benar-benar rapat dan saling percaya antara negara,” katanya kepada Bernama.
Mohamed Khaled menegaskan hubungan ini penting memandangkan Malaysia mengamalkan dasar berkecuali dan kadangkala mempunyai pendirian yang tidak diterima semua pihak.
Beliau menambah Bahrain boleh menjadi rakan strategik Malaysia dalam membuka pasaran di wilayah lain termasuk Afrika.
Negara itu mempunyai ekonomi mantap sebagai pengeluar minyak, gas dan aluminium serta menekankan sektor perkhidmatan, profesional dan kewangan.
“Hubungan antara kedua negara telah dipelopori oleh Tuanku, dan kini terserah kepada kepimpinan bagaimana ia diuruskan supaya benar-benar mendatangkan manfaat,” katanya.
Dari aspek keselamatan, Mohamed Khaled berkata Malaysia dan Bahrain melihat keamanan dan kestabilan di ASEAN dan GCC amat penting untuk memperkukuh perdagangan dua hala.
“Kita tidak mahu kawasan ini menghadapi krisis yang boleh menjejaskan perdagangan dunia,” tegasnya.
Beliau menekankan perlunya hubungan pertahanan serta perkongsian maklumat, kepintaran dan pengalaman dalam menjaga keselamatan.
Bahrain kekal antara rakan dagang utama Malaysia di rantau Asia Barat dan merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia.
Seri Paduka Baginda berangkat pulang ke tanah air pada Ahad selepas mengakhiri lawatan negara tiga hari ke Bahrain.
Pesawat khas membawa Sultan Ibrahim berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pagi tadi. – Bernama






