the sun malaysia ipaper logo 150x150
Sunday, December 14, 2025
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Lebih 1,500 sertai CoopWalk tutup sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025

IYC2025 ditutup dengan CoopWalk di Kuala Lumpur, himpun lebih 1,500 peserta wakili semangat perpaduan dan sumbangan gerakan koperasi

KUALA LUMPUR: Sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) ditutup dengan penganjuran IYC2025 CoopWalk yang menghimpunkan lebih 1,500 peserta.

Program anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu bermula di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan berakhir di Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL).

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata CoopWalk membawa makna simbolik kepada perjuangan bersama gerakan koperasi.

“Program CoopWalk ini melambangkan perjalanan kolektif gerakan koperasi yang bergerak seiring dalam meningkatkan taraf kehidupan penduduk serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara,” katanya.

Beliau merakamkan penghargaan kepada ANGKASA atas komitmen berterusan dalam menjayakan sambutan IYC2025.

Majlis penutupan turut dihadiri Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organisation (ACO) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Wakil lapan koperasi dari negara ASEAN termasuk Filipina, Indonesia, Kemboja dan Timor Leste turut hadir sebagai tanda sokongan terhadap kerjasama serantau.

Abdul Fattah berkata penganjuran CoopWalk membuktikan keupayaan gerakan koperasi menghimpunkan masyarakat dalam program berimpak sosial.

“Program seperti CoopWalk menonjolkan nilai kebersamaan, perpaduan dan kekuatan komuniti yang menjadi asas kepada gerakan koperasi,” katanya.

Beliau berkata sambutan IYC2025 sepanjang tahun turut diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai program strategik.

Pelaksanaan program seperti ASEAN Cooperative Dialogue (ACD) 2025 menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama koperasi di peringkat ASEAN.

Program CoopWalk turut diadakan sebagai penghormatan kepada tokoh pemikir gerakan koperasi negara Prof Diraja Ungku Abdul Aziz.

Beliau pernah mencetuskan penganjuran acara berjalan kaki KOPJOG pada era 1980-an sebagai simbol penyertaan masyarakat.

Majlis penutupan IYC2025 mengukuhkan tekad ANGKASA dan seluruh gerakan koperasi untuk meneruskan momentum yang dibina.

Penekanan diberikan terhadap perpaduan, inovasi, jaringan kerjasama serta sumbangan koperasi dalam pembangunan masyarakat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories