Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya membelanjakan lebih RM600,000 untuk pendidikan pada 2023, termasuk sumbangan PIBG dan bantuan komputer riba.
MELAKA: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya membelanjakan lebih RM600,000 bagi perkara berkaitan pendidikan di kawasan itu pada tahun lepas.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim berkata perbelanjaan itu merangkumi sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), yuran sekolah dan komputer riba bagi murid dan pelajar kurang berkemampuan.
“Di Parlimen Hang Tuah Jaya ini kita memang beri tumpuan kepada usaha mendukung agenda pendidikan,” katanya.
Beliau berharap usaha itu dapat terus disokong bagi memastikan anak-anak di kawasan parlimennya mendapat pendidikan lebih baik.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian selepas Program Selamat Kembali ke Sekolah bersama pusat khidmatnya di sebuah pasar raya di sini.
Pada program itu, 500 orang menerima sumbangan baucar wang tunai dan beg sekolah bagi membeli kelengkapan persekolahan.
Untuk tahun ini, Adam Adli berkata beliau akan memberi tumpuan kepada sektor kritikal membabitkan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan infrastruktur.
Beliau berkata kerjasama strategik dengan pelbagai pihak akan diperhebat untuk melipatgandakan usaha membantu golongan memerlukan di Parlimen Hang Tuah Jaya.








