Lebih sejuta penganut Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang sempena Thaipusam 2026, dengan sambutan selama tiga hari dan kemudahan khas untuk warga emas.
GEORGE TOWN: Lebih sejuta penganut agama Hindu dan pelancong dijangka membanjiri Pulau Pinang sempena perayaan Thaipusam yang disambut pada 1 Februari depan.
Timbalan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) Dr R. Lingeshwaran berkata persiapan rapi sedang giat dijalankan bagi memastikan perayaan itu berjalan lancar.
Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia tahun lepas, jumlah pengunjung dianggarkan satu juta dan tahun ini dijangka akan lebih ramai.
Sambutan kali ini berlangsung selama tiga hari dengan acara kemuncak pada Ahad, 1 Februari iaitu hari Thaipusam.
Ketibaan pelancong terutama dari India juga dijangka meningkat berikutan pembukaan semula penerbangan terus dari Chennai ke Pulau Pinang.
Lingeshwaran memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan polis serta agensi berkaitan dalam merangka perancangan sambutan.
Bersempena kedatangan Thaipusam, LWHPP mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa warga emas dan orang kurang upaya (OKU) ke kuil.
Inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan golongan berkenaan dapat menunaikan hajat keagamaan dalam keadaan selamat.
“Tahun ini atas faktor keselamatan kita sediakan empat buah pacuan empat roda dengan dibantu oleh 40 orang sukarelawan,” katanya.
Seramai 60 warga emas dan OKU dibawa naik ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam hari ini.
Langkah itu diambil untuk mengelakkan risiko kecederaan akibat penggunaan tangga yang curam khususnya kepada warga emas dan pesakit kurang upaya.
Ia juga bertujuan mengurangkan pendedahan kepada penyakit berjangkit seperti influenza dan penyakit berkaitan pernafasan.
Seorang warga emas R. Punithavathi, 73, berterima kasih kepada LWHPP atas keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Wanita itu berkata dia membawa suami, K. Muniandy, 73, yang berkerusi roda selepas kaki kirinya dipotong akibat kemalangan enam tahun lepas.
“Hari ini, hajat suami untuk naik berdoa di kuil tercapai dan saya berharap kami berdua diberikan kesihatan yang baik,” katanya.








