the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, January 10, 2026
21.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Lelaki Nigeria dihukum gantung sampai mati kerana campak cucu tiri dari tingkat tiga

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas lelaki Nigeria yang campak cucu tirinya dari tingkat tiga pangsapuri

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Nigeria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mencampakkan cucu lelaki tirinya dari tingkat tiga sebuah pangsapuri sehingga mati, enam tahun lepas.

Hakim K. Muniandy yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman itu terhadap penganggur Ibekwe Emeka Augustine, 48, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Pada 18 Dis 2020, Augustine didakwa membunuh cucu lelaki tirinya berusia empat tahun di sebuah unit pangsapuri di Setapak, dekat sini, antara 7.45 pagi hingga 8.15 pagi, 29 Nov 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Augustine turut didapati bersalah atas empat pertuduhan, iaitu cuba membunuh anak lelaki kandungnya, menyebabkan cedera parah terhadap isterinya, cubaan bunuh diri dan melakukan serangan seksual terhadap anak tiri perempuan pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi empat pertuduhan itu, Hakim Muniandy memerintahkan tertuduh dihukum penjara serentak selama 14 tahun bermula tarikh tangkapannya pada 29 Nov 2020. 

Ketika membacakan keputusan, Hakim Muniandy berkata semua kesalahan itu dilakukan dalam tempoh sehari, merangkumi ‘serangan sumbanga’ tidak senonoh dan cubaan membunuh, sebelum tertuduh cuba membunuh diri. 

“Semua perbuatan tidak berperikemanusiaan dan keji yang dilakukan tertuduh sepatutnya boleh dihentikan apabila isterinya cuba berbuat demikian, namun dia terus melakukan perbuatan itu selepas mencederakan isterinya sehingga parah.

“Mereka semua mengalami trauma akibat kejadian itu dan terpaksa melarikan diri dari rumah sebelum kejadian lebih mengerikan menimpa mereka, sebelum menemukan cucu maut selepas dicampakkan tanpa belas kasihan oleh tertuduh yang kemudiannya cuba membunuh diri,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zaileen Nadia Zubir dalam hujahan pemberatannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum mengambil kira faktor kesemua kesalahan yang dilakukan tertuduh berpunca daripada ‘self-induced, iaitu pengambilan dadah yang berpanjangan sebelum ini.

“Kes ini melibatkan empat mangsa, iaitu isteri, cucu tiri, anak tiri dan anak kandung, selain tertuduh sendiri mengakui dia mengalami skizofrenia akibat pengambilan dadah yang menyebabkan dia mendengar suara-suara di sekelilingnya.

“Berdasarkan keterangan sepanjang perbicaraan, tidak mungkin tertuduh hilang pertimbangan sepanjang masa kejadian kerana dia boleh memberi respon kepada pertanyaan isterinya dan turut meminta maaf atas kejadian yang berlaku,” katanya.

Zaileen Nadia berkata bagi kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mangsa iaitu seorang kanak-kanak digantung secara terbalik dengan memegang kakinya (eng: was dangled by his leg) sebelum dicampak keluar tingkap oleh tertuduh.

“Perbuatan itu dilihat oleh ibu mangsa (anak tiri tertuduh) dan wanita itu cuba menyelamatkan kanak-kanak tersebut, namun tidak berjaya. Tertuduh juga bertindak melompat ke atas isterinya yang menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan serius sehingga patah tulang pinggul.

“Atas faktor-faktor ini, pihak pendakwaan memohon hukuman maksimum, iaitu hukuman gantung sampai mati, manakala hukuman penjara bagi empat kesalahan lain berjalan secara berasingan,” katanya.

Sementara itu, peguam Zulkifli Awang yang mewakili Augustine memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan tanpa hukuman gantung atas alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama, selain menunjukkan keinsafan dan tidak pernah menimbulkan masalah sejak berada dalam tahanan. 

Sebanyak 22 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan, termasuk tertuduh sendiri dipanggil memberikan keterangan dalam prosiding perbicaraan yang bermula 14 Jan 2024.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories