Seorang lelaki Thailand dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengedar 331kg dadah jenis methamphetamine bernilai hampir RM11 juta di Padang Terap.
JITRA: Seorang lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 331 kilogram dadah bernilai hampir RM11 juta.
Tertuduh, Muhammad Chemudo, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu.
Dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine di kawasan hutan sekitar Durian Burung, Daerah Padang Terap, pada 9 Disember lepas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam perkembangan lain, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya.
Perbuatan itu dilakukan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap pada malam hari yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang membawa hukuman denda atau penjara.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah juga melantik jurubahasa bahasa Thailand untuk prosiding akan datang.








