the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, December 24, 2025
26.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Lima kluster strategik perkukuh reformasi kesihatan MADANI

Reformasi Kesihatan MADANI digerak melalui lima kluster strategik, fokus pencegahan, digitalisasi dan tadbir urus lebih baik.

KUALA LUMPUR: Reformasi Kesihatan MADANI digerakkan melalui lima Kluster Strategik bagi memperkukuh perkhidmatan dan membina persekitaran kerja yang adil untuk petugas kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah ini merupakan pembetulan asas untuk memastikan sistem kesihatan negara bersedia menghadapi masa depan.

Ia susulan pelbagai cabaran struktur termasuk pembiayaan kesihatan, kesesakan fasiliti, beban penyakit tidak berjangkit dan keletihan tenaga kerja.

“Kita sedang mengubah fokus daripada sick-care kepada health-care yang berteraskan pencegahan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Kluster pertama melibatkan reformasi institusi dan tadbir urus dengan tumpuan memperkemas ekosistem Kementerian Kesihatan.

Penubuhan entiti strategik seperti Bahagian Kesihatan Digital dan Pusat Keselamatan Makanan Negara adalah langkah ke hadapan.

Bagi kluster kedua iaitu reformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan, KKM sedang mengubah cara perkhidmatan disampaikan.

“Walaupun integrasi sistem data pelbagai merupakan cabaran teknikal besar, kita kekal komited melaksanakan pendigitalan rekod perubatan dan sistem janji temu digital,” kata Dzulkefly.

Matlamatnya adalah untuk mengurangkan tekanan di hospital yang sesak serta membawa perkhidmatan kesihatan lebih cekap kepada rakyat.

Kluster ketiga melibatkan reformasi sumber manusia kesihatan, dengan KKM melaksanakan pembetulan struktur termasuk pindaan Akta Perubatan 1971.

KKM juga melaksanakan lantikan tetap terbesar dalam sejarah terkini sektor kesihatan.

“Ini bukan penyelesaian mudah, tetapi langkah perlu untuk menoktahkan kemelut berpanjangan,” jelasnya.

Kluster keempat iaitu reformasi pembiayaan kesihatan bertujuan menjamin kelangsungan fiskal sistem kesihatan awam.

Melalui kerangka RESET, negara mula beralih kepada pembiayaan berasaskan nilai kesihatan.

Kluster kelima melibatkan reformasi kesihatan awam, keselamatan dan pencegahan dengan pendekatan lebih tegas terhadap faktor risiko utama.

“Langkah ini disokong penguatkuasaan undang-undang baharu, termasuk Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” katanya.

Melangkah ke tahun 2026, fokus KKM tertumpu kepada pengurusan bakat berasaskan data dan empati serta usaha mengurangkan kesesakan.

Fasa seterusnya menuntut disiplin pelaksanaan tinggi bagi mematangkan reformasi.

Menjelang era Rancangan Malaysia Ke-13, iltizam KKM adalah untuk memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada hasil nyata.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories