LKIM salur bantuan RM1.8 juta kepada 628 nelayan terjejas bencana alam tahun ini, dengan peruntukan maksimum RM10,000 untuk pembaikan rumah dan bot
BACHOK: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah memperuntukkan RM1.8 juta kepada 628 nelayan di seluruh negara tahun ini menerusi Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata bantuan itu meliputi kerja pembaikan rumah dan bot nelayan yang rosak akibat bencana seperti banjir dan ribut.
“Tahun ini kita menerima peruntukan berjumlah RM2 juta dengan sebahagian besarnya untuk nelayan yang terkesan banjir di negeri Pantai Timur,” katanya.
Beliau menjelaskan skim ini menyediakan bantuan maksimum RM10,000 bergantung kepada tahap kerosakan.
“Jika kerosakan melebihi had itu, LKIM akan memohon bantuan tambahan daripada kerajaan melalui skim lain,” katanya kepada pemberita pada Program MADANI Anak Nelayan Kembali Ke Sekolah di sini.
Inisiatif itu bertujuan meringankan beban nelayan serta menyokong usaha LKIM memastikan kebajikan komuniti itu terpelihara.
Mengulas bekalan ikan sepanjang Monsun Timur Laut, beliau berkata keperluan pengguna mencukupi melalui 300 metrik tan stok simpanan LKIM dan 1,600 metrik tan stok syarikat swasta.
“Kita menggalakkan rakyat mempelbagaikan sumber protein pada musim tengkujuh bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil laut,” katanya.
Beliau juga menyeru pengguna membeli ikan mengikut musim pembiakan spesies bagi mengelak harga tinggi.
Dalam program itu, Muhammad Faiz menyampaikan bantuan peralatan persekolahan bernilai RM8,600 kepada 100 anak nelayan Bachok.
Bantuan tersebut termasuk beg sekolah, topi dan botol air serta baucar RM50 untuk setiap seorang. – Bernama







