Mahkamah benarkan Na’imah Abdul Khalid dan lima syarikat celah permohonan SPRM untuk membekukan aset bernilai GBP132 juta di London.
KUALA LUMPUR: The Ilham Foundation dan lima syarikat dibenarkan mencelah permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membekukan aset di London.
Aset bernilai GBP132 juta itu merangkumi bangunan komersial dan kediaman mewah serta satu akaun bank.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan tidak akan diprejudis.
Beliau berkata peruntukan di bawah Akta AMLATFPUAA 2001 adalah satu tindakan in personam.
Mahkamah turut memerintahkan keenam-enam pencelah memfailkan afidavit jawapan dalam tempoh 30 hari.
The Ilham Foundation dikaitkan dengan isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Lima syarikat lain ialah Copperfield Investment Holdings Limited, Straits Properties Ltd, Newton Assets Global Limited, Splendid International Limited dan Catalyst Assets Limited.
Pada 3 Jun lepas, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte SPRM untuk membekukan aset berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini berkata lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu.
Maklumat terbaharu menunjukkan pemilikan aset Daim, keluarga dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan pada 2023.







