Mahkamah Rayuan kurangkan pampasan keluarga Altantuya Shaariibuu daripada RM5 juta kepada RM1.4 juta, tolak tanggungjawab vikarius kerajaan.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah pampasan kepada keluarga model Mongolia Altantuya Shaariibuu daripada RM5 juta kepada RM1.4 juta.
Keputusan itu dibuat dalam satu saman sivil berhubung kematiannya pada 2006.
Panel tiga hakim memutuskan secara sebulat suara bahawa pampasan RM5 juta asal bersifat simbolik dan tidak berdasarkan pengiraan tepat.
Hakim K. Muniandy berkata pampasan sedemikian tidak boleh dipertahankan dan diketepikan oleh mahkamah.
“Ganti rugi yang boleh dinilai adalah terhad kepada kehilangan kebergantungan,” katanya ketika membacakan penghakiman.
Beliau menjelaskan ia dikira berdasarkan pendapatan si mati menggunakan kaedah pengganda-pendarab dan tertakluk kepada had statutori.
Panel turut memutuskan kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap kematian Altantuya.
Keputusan itu dibuat atas alasan perbuatan dua anggota polis terbabit dilakukan di luar skop tugas mereka.
Dua anggota polis tersebut ialah Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.
Hakim Besar Malaya Datuk Hashim Hamzah dan Hakim Datuk Azman Abdullah turut menganggotai panel berkenaan.








