Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu batalkan sabitan dan hukuman penjara dua tahun terhadap editor Sarawak Report, perintah perbicaraan semula.
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengisytiharkan perbicaraan secara tanpa kehadiran tertuduh terhadap Clare Rewcastle-Brown sebagai tidak sah.
Hakim Datuk Seri Mohd Radzi Harun memutuskan bahawa sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret sebelum ini dibatalkan.
“Prinsip jenayah autrefois acquit, autrefois convict tidak terpakai bagi pihak rayuan,” katanya dalam penghakiman.
Mahkamah memerintahkan kes ini disebut semula di hadapan majistret baharu untuk perbicaraan semula terhadap pertuduhan yang sama.
Mohd Radzi turut memerintahkan majistret memanggil semula saksi-saksi pendakwaan dan merakamkan keterangan mereka.
Pendakwaan hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azizan Abdullah, Mohd Khairuddin Idris dan Nor Aishah Mohamad.
Rewcastle-Brown yang tidak hadir diwakili oleh peguam Guok Ngek Seong.
Pada 7 Februari 2024, Rewcastle-Brown dijatuhi hukuman penjara dua tahun secara tanpa kehadiran tertuduh oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Beliau didapati bersalah memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan.
Rewcastle-Brown kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan sabitan dan hukuman tersebut.
Peguam Ngek Seong berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan bahawa tertuduh perlu dibawa ke mahkamah untuk dituduh.
“Selepas itu, jika tertuduh tidak hadir, mahkamah akan menentukan sama ada adil untuk meneruskan secara in absentia,” katanya kepada pemberita.
Beliau tidak pasti sama ada anak guamnya akan hadir pada perbicaraan semula di Mahkamah Majistret.
Ngek Seong berkata proses ekstradisi pengarang wanita itu sukar dilaksanakan berikutan percanggahan undang-undang antara Malaysia dan United Kingdom. – Bernama







