Malaysia dan UK lancar fasa kedua UK PACT, program iklim dwipihak terbesar UK di Malaysia, fokus kepada pembiayaan hijau dan pasaran karbon
KUALA LUMPUR: Malaysia dan United Kingdom (UK) memperkukuh kerjasama dengan melancarkan fasa kedua Dana Kerjasama Malaysia-UK bagi Mempercepat Peralihan Iklim (UK PACT) 2.0.
Program ini merupakan program iklim dwipihak terbesar UK di Malaysia yang memfokus kepada pembiayaan hijau dan pasaran karbon.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata portfolio baharu itu akan menyediakan sokongan bersasar dalam bidang kritikal bagi peralihan iklim negara.
“Kerjasama kita dengan United Kingdom menunjukkan bagaimana kerjasama antarabangsa dapat memacu usaha negara,” katanya.
Beliau berkata dengan menggabungkan kepimpinan dasar Malaysia bersama kepakaran teknikal UK, platform untuk pembelajaran dan manfaat bersama diwujudkan.
Antara tumpuan utama UK PACT 2.0 ialah memperkukuh keupayaan Malaysia untuk melaksanakan Skim Perdagangan Pelepasan Karbon Domestik.
Program ini juga akan menyediakan persiapan bagi pelancaran mekanisme Forest Carbon Offset (FCO) oleh Malaysian Forest Fund (MFF).
Fokus lain termasuk menambah baik strategi pembiayaan hijau bagi merancakkan integrasi tenaga boleh baharu dalam grid tenaga.
Johari berkata selama lebih tiga tahun, kedua-dua negara telah menjalinkan kerjasama ke arah masa depan lebih hijau serta lestari.
“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan kita bahawa tiada negara mampu menangani krisis iklim secara bersendirian,” katanya.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma berkata setiap projek dalam portfolio UK PACT akan membantu Malaysia mencapai hasratnya berkaitan perubahan iklim.
Beliau berkata program itu adalah contoh bagaimana kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk melaksanakan perkongsian strategik.
“Ini adalah satu perkongsian yang akan meningkatkan kemakmuran dan keselamatan rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Program ini mempunyai peruntukan sehingga £2.9 juta bagi tahun kewangan 2025/2026 dan 2026/2027.
Ia bertujuan menetapkan visi serta hala tuju yang jelas untuk sektor swasta dan awam melalui pelan hala tuju strategik bagi pembiayaan hijau.
Program ini juga akan merangsang pelaburan dalam penyelesaian penyimpanan tenaga dan infrastruktur grid.
Selain itu, ia bertujuan mengukuhkan mekanisme pasaran karbon dan kapasiti institusi bagi penggunaan alam semula jadi dan tanah. – Bernama







