Malaysia catat eksport getah dan produk berasaskan getah melebihi RM33 bilion setahun, didorong kekuatan R&D dan teknologi pemprosesan hiliran
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan nilai eksport getah dan produk berasaskannya melebihi RM33 bilion setahun.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pencapaian itu disokong kekuatan teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemprosesan hiliran oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM).
Beliau berkata walaupun negara mengimport purata RM7.5 bilion getah asli setahun, kekuatan pemprosesan membolehkan eksport bernilai tinggi dikekalkan.
“Kita masih ada lagi 40% untuk ladang-ladang getah yang tidak diusahakan,” katanya merujuk kepada 400,000 hektar tanah getah tidak aktif.
Johari berkata kementerian komited untuk memanfaatkan tanah tersebut dengan penanaman getah semula.
Pengeluaran getah asli dalam negara dianggarkan sekitar 350,000 tan metrik, manakala permintaan melebihi 1 juta tan metrik.
“Jika pelabur dalam sektor ini dapat terlibat dengan lebih agresif, ia akan mengukuhkan kedudukan negara,” katanya.
Johari berkata LGM telah mengkomersialkan lebih 200 teknologi R&D dan mendaftarkan 394 paten sejak penubuhannya.
Pengerusi LGM Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata lembaga itu melancarkan Buku Strategi 2026-2030 bagi mendepani cabaran global.
“Strategi LGM 2026-2030 memperuntukkan fokus khusus kepada teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI), robotik, dan automasi,” katanya.
Ahmad Badri berkata sambutan 100 tahun penyelidikan getah adalah simbol keupayaan manusia mengubah sumber alam menjadi teknologi untuk masa depan.
Beliau menyeru semua pihak untuk bekerjasama memastikan getah Malaysia kekal relevan dan berdaya saing untuk generasi akan datang. – Bernama







