Malaysia terus tingkat tekanan antarabangsa terhadap Israel, sokong pelaksanaan penuh keputusan ICJ dan usul resolusi di PBB
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus meningkatkan tekanan antarabangsa bagi memastikan rejim Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa terhadap rakyat Palestin.
Ini termasuk melalui pelaksanaan penuh keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata sokongan kuat dan penyertaan aktif Malaysia dalam prosiding pendapat nasihat ICJ pada 2004, 2024 dan 2025 mencerminkan pendirian tegas negara.
“Pada 22 Okt 2025, ICJ mengeluarkan pendapat yang berpihak kepada Palestin,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Keputusan itu turut mengesahkan hujah-hujah perundangan Malaysia yang dikemukakan melalui kenyataan bertulis dan lisan di ICJ.
Mohamad berkata prosiding ICJ itu mengesahkan kependudukan haram Israel sebagai tidak sah serta membuktikan pencabulan undang-undang kemanusiaan.
Beliau berkata Malaysia melalui Kumpulan The Hague kini terus menerajui pelaksanaan keputusan-keputusan ICJ.
Ini termasuk melalui sekatan perdagangan terhadap Israel dan larangan kapal Israel berlabuh di negara ini.
“Keputusan ICJ merupakan kemenangan moral, politik dan perundangan bagi rakyat Palestin,” katanya.
Malaysia juga sedang bekerjasama dengan negara-negara sependirian untuk mengemukakan usul resolusi di Perhimpunan Agung PBB.
Usul itu adalah bagi melaksanakan pendapat nasihat terbaru ICJ, katanya.
Menjawab soalan tambahan, beliau menegaskan bahawa tindakan unilateral Israel terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.
“Itu sebabnya Malaysia bersama banyak negara sependirian akan terus memberikan tekanan antarabangsa,” katanya.
Beliau memaklumkan undian terhadap pendapat nasihat ICJ akan diadakan di PBB pada 12 Disember.
“Kita juga minta PBB supaya melaksanakan apa jua sekatan yang boleh dikenakan terhadap Israel,” katanya.
Malaysia juga mengekalkan pendirian menyokong kes Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ berhubung Konvensyen Genosid 1948.
Sokongan turut diberikan kepada tindakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi membendung budaya kekebalan hukuman.
Mengenai bantuan kepada Palestin, Mohamad berkata Malaysia telah memulakan koordinasi dengan beberapa negara termasuk Jepun untuk pelan membina semula Gaza.
Sebahagian daripada peruntukan RM100 juta yang diumumkan Perdana Menteri akan digunakan bagi tujuan berkenaan.
Bagaimanapun, usaha pemulihan hanya boleh dimulakan apabila gencatan senjata penuh dilaksanakan.
Beliau turut memaklumkan kekangan pintu masuk bantuan yang belum stabil untuk membawa bekalan oleh badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan. – Bernama







