Kontinjen Malaysia raih tempat ketiga di WorldSkills Asia Taipei 2025 dengan 17 pingat, bukti kemahiran TVET negara setanding taraf dunia.
KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia menduduki tempat ketiga di WorldSkills Asia (WSA) Taipei 2025 membuktikan kemahiran bertaraf dunia dalam kalangan belia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pencapaian itu mengangkat martabat TVET sebagai pemacu kemahiran negara di peringkat serantau.
“Alhamdulillah, satu lagi pencapaian yang manis dan membanggakan buat Malaysia sekali gus membuktikan bahawa anak-anak muda TVET kita memiliki kemahiran bertaraf dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
BACA: Peruntukan RM7.9 bilion untuk TVET lahirkan tenaga mahir tempatan
Beliau menegaskan kemenangan itu membuka lembaran baharu dalam pembangunan kemahiran negara.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, “Malaysia boleh! Anda telah membanggakan Malaysia.”
Kontinjen Malaysia meraih 17 pingat keseluruhan di kejohanan berkenaan.
Pingat tersebut terdiri daripada lima emas, lima perak, empat gangsa dan tiga Medallion for Excellence.
Sebanyak 25 peserta TVET negara mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung dari 27 hingga 30 November.
Edisi Taipei tahun ini menyaksikan penyertaan lebih 500 peserta dari lebih 35 negara dan wilayah Asia.
Ia menjadikan kejohanan itu antara pertandingan kemahiran terbesar di rantau ini. – Bernama







