Mangsa banjir meningkat di Perlis, Terengganu, Perak, Kedah dan Selangor, manakala Kelantan catat penurunan sedikit dengan 10,950 mangsa
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di seluruh negara pagi ini menunjukkan perubahan berbeza dengan jumlah mangsa di Kelantan sedikit berkurangan manakala lima negeri lain mencatat peningkatan.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 10,950 orang daripada 4,111 keluarga berbanding 11,120 orang semalam.
Sebanyak 66 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sembilan jajahan yang dilanda banjir.
Jajahan Tumpat mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 4,427 orang, diikuti Bachok (2,047) dan Kota Bharu (2,447).
Dua sungai di Kelantan melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang.
Di Perlis, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 7,501 orang dengan penambahan tiga PPS berbanding 6,627 mangsa semalam.
Kesemua mangsa ditempatkan di 24 PPS melibatkan kawasan Padang Besar, Arau dan Kangar.
Di Terengganu, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,483 orang daripada 1,131 keluarga berbanding 3,233 orang semalam.
Kemaman menjadi daerah terbaru dilanda banjir dengan lapan mangsa berpindah ke tiga PPS.
Dua sungai di Terengganu melepasi tahap bahaya iaitu Sungai di Kampung Langkap dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri.
Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,620 orang daripada 1,746 keluarga di 46 PPS.
Lapan daerah terjejas termasuk Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak dan Kuala Kangsar.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,306 orang daripada 1,453 keluarga di 23 PPS.
Kesemua mangsa berasal dari daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena.
Enam sungai di Kedah melepasi tahap bahaya termasuk Sungai Anak Bukit dan Sungai Padang Terap.
Di Selangor, sebanyak 2,460 mangsa daripada 642 keluarga masih berlindung di PPS dengan sedikit peningkatan.
Sebanyak 15 PPS masih beroperasi di empat daerah termasuk Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.
Di Pahang, jumlah mangsa banjir kekal 19 orang daripada lapan keluarga di PPS Dewan Serbaguna Dato Omar Kuala Medang, Lipis. – Bernama







