Manifesto GRS untuk PRN Sabah menekankan kelangsungan agenda SMJ dan kemampuan pelaksanaan, menolak janji tidak realistik yang mengecewakan rakyat.
KOTA KINABALU: Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 merupakan tekad meneruskan momentum pencapaian yang digarap dalam tempoh lima tahun sebelumnya.
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata manifesto parti itu digubal berdasarkan asas yang dibina semasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 dari 2021 hingga 2025.
“Berbeza dengan tawaran parti-parti lain, kami tidak menjanjikan bulan dan bintang yang tidak mampu dicapai oleh tangan,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menegaskan manifesto itu turut mengambil kira keupayaan dan kapasiti kerajaan negeri untuk melaksanakan strategi yang digariskan, khususnya dari segi kemampuan kewangan.
Armizan menambah adalah tidak wajar untuk membentangkan janji yang sedap didengar tetapi tidak boleh dilaksanakan atau diukur pencapaiannya dalam tempoh satu penggal pentadbiran.
“Manifesto adalah aku janji dan tekad pertanggungjawaban, bukannya sekadar gula-gula meraih undi pilihan raya,” jelasnya.
Beliau memberi amaran bahawa sekiranya sikap hanya berjanji kosong berterusan, rakyat Sabah akan terus dikecewakan dan keyakinan mereka terhadap institusi kerajaan akan terhakis.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor telah melancarkan manifesto parti itu yang dipacu menerusi empat rukun utama iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Maju ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Bersatu.
Empat rukun ini diterjemahkan melalui 16 strategi yang merangkumi pelbagai agenda pembangunan merentasi sektor ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Manifesto itu turut memasukkan tuntutan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Pengundian PRN Sabah ditetapkan pada 29 November manakala undi awal telah berlangsung.







