MARA peruntuk RM30 juta dana pembiayaan untuk usahawan Perak tahun depan bagi perkukuh perniagaan dan bantu tembus pasaran antarabangsa.
IPOH: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan dana pembiayaan sebanyak RM30 juta kepada usahawan di Perak pada tahun depan.
Peruntukan itu bertujuan membantu mereka memperkukuh perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata hampir RM26 juta diperuntukkan untuk pembangunan usahawan bumiputera negeri Perak pada tahun ini.
BACA: Mara salur hampir RM25 juta perkasa usahawan bumiputera Melaka
“Kita nak fokuskan pada tahun depan supaya lebih ramai usahawan yang boleh menembusi pasaran (antarabangsa) sekurang-kurangnya di peringkat ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Usahawan MARA Negeri Perak 2024-2025.
Asyraf Wajdi berkata MARA membantu melalui projek khas Gate to Global (GTG) bagi memastikan usahawan bersedia memasuki pasaran antarabangsa.
Pihaknya menyasarkan peningkatan 30 hingga 40% usahawan terlibat dalam program GTG secara keseluruhan setiap tahun.
“Kita tidak akan membiarkan mereka sekadar memulakan perniagaan, tetapi nak memastikan kelestarian perniagaan dan pengembangan perniagaan mereka terus diperkasakan,” ujarnya.
Beliau berkata 37% daripada kira-kira 647,000 usahawan di negara ini adalah bumiputera.
Sebanyak 88% daripada usahawan bumiputera itu berstatus mikro.
“Kita mempunyai strategi untuk tahun-tahun mendatang supaya mereka yang berada dalam kategori mikro boleh kita angkat kepada kategori kecil dan seterusnya sederhana,” katanya.
Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2024-2025 Negeri Perak menyaksikan 12 usahawan terpilih daripada 35 pencalonan.
Anugerah itu merangkumi pelbagai kategori termasuk Industri Gaya Hidup, Automotif, Makanan & Minuman dan Usahawan Inspirasi Wanita. – Bernama







